Antara merebut nama Allah dan mempertahan akidah

April 27th, 2008 by myjaslina

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin : Mufti Kerajaan Negeri Perlis. E-mel: moasriza@yahoo.com & http://drmaza.com/

BANYAK pihak mendesak saya memberi pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya Kristian di Malaysia. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberi pandangan ringkas dengan berkata: “Ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan. Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible bahasa Melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak edisi Inggerisnya? Adakah ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu.

Didesak

Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: “Jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-sunah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut. Kadangkala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu terpenting adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap Muslim atau bukan Muslim di negara ini. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis. Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya : Mengapakah kita sentiasa merasakan akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil Tuhan Allah? Mengapakah tidak dirasakan itu lebih memudahkan bagi menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam? Maka apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam atau kebimbangan disebabkan kelemahan umat Islam?”

Jika kita membaca al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w. juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar. Firman Allah: (maksudnya) Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah! (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dialah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman! (Surah al-Zukhruf ayat 87-88). Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah.” Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (surah al-Ankabut ayat 63). Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantah golongan bukan Muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. disuruh mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik. Justeru, soal bukan Muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah. Apakah patut kita kata kepadanya: “Awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan Muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan.” Apakah ini tindakan betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah.” Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha Suci Allah dari dakwaan awak.”

Keamanan

Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia, Allah menyebut: (maksudnya)… Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40). Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian, Allah menyebut: (maksudnya) Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti).” Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. (Surah al-Maidah ayat 73). Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa di kalangan ulama Muslimin sejak dahulu yang membantah. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini. Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia akan begitu defensive, tidak memiliki antibodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan. Sehingga Allah menyebut (maksudnya): Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).

Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: Nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata: “Jika sebutan nama Tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka sekian lama memanggil Tuhan dengan panggilan Allah. Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk nabi, Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraisy dahulu. Quraisy pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: Labbaikallahhumma yang bermaksud: Menyahut seruan-Mu ya Allah! Al- Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w. dengan Quraisy Mekah, seperti berikut: “Sesungguhnya Quraisy membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraisy ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w: Barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan nama-Mu Ya Allah!).” Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w. menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah generasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirik agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik. Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi pada masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang- orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu. Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3). Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiah, uluhiah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan Muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zat-Nya, ibadah kepada-Nya dan sifat-sifat-Nya.

Mudah

Persoalan tauhid antisyirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w. telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang Badwi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sesi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan. Bukan sahaja Badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi tambah serabut. Bertahun-tahun masih kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta… lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan Tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut? Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid antisyirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah… Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka.” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da‘ iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.

Jika akidah generasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut Tuhan bapa, Tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang antisyirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama Nabi Ibrahim, Ishak, Ya‘kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar di KAFA, JQAF dan pelbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.

Maka sebenarnya, ini adalah isu kelemahan umat Islam memahami akidah yang sebenar. Generasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan. Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bila kita mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, pelbagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan. Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

Bookmark and Share

Kepelbagaian Dakwah..

April 10th, 2008 by myjaslina

Ayub Abdul Rahman dulu paderi kini Daie

Oleh: SITI AINIZA KAMSARI (2006)

PADA 8 Ogos tahun lalu, seluruh umat Islam amat merasai kehilangan ulama besar dan pendakwah terkemuka Sheikh Ahmed Hossen Deedat yang meninggal dunia dalam usia 87 tahun. Ramai beranggapan tidak akan ada Ahmed Deedat yang kedua selepas kematiannya itu.

Hanya Allahyarham sahaja yang mampu berdialog mengenai soal ajaran Kristian dan kitab Bible bagi tujuan menyerlahkan lagi kebenaran ajaran Islam itu sendiri.

Namun pertemuan penulis dengan seorang lagi pendakwah baru-baru ini tidak syak lagi mampu membuka lembaran baru mengenai ‘kemunculan’ atau pengganti Ahmed Deedat walaupun mungkin tidak sehebat Allahyarham.

Bahkan lebih menariknya, Ustaz Ayub Abdul Rahman 59, sendiri dahulunya seorang seorang pendita atau Paderi Besar Kristian yang lebih dikenali sebagai Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam dan pernah berkhidmat di Gereja St. Augustine of Canterbury, Frankfurter Jerman selama hampir 10 tahun.

Gereja tersebut atau lebih dikenali sebagai Englische Kirche (Gereja Inggeris) merupakan satu-satunya gereja di Jerman yang menggunakan medium Bahasa Inggeris yang beraliran Anglican Episcopal Church. Ia sering menjadi tumpuan penganut Kristian terutamanya dari Amerika Syarikat dan Britain serta lain-lain negara Eropah.

Bagaikan jauhari mengenal manikam. Ayub adalah tokoh yang selayaknya memperkatakan ajaran Kristian dan amat mengetahui semua isi dan selok belok kitab Injil itu.

Namun sehebat itu juga pengetahuan dan amalannya kini terhadap Islam, tidak ada sesiapa dapat mempertikaikan sehinggakan orang ramai tidak ragu-ragu memanggilnya “Ustaz” mahupun “Tuan Haji Ayub”.

Komitmen beliau yang begitu padu terhadap Islam terutama dalam gerakan dakwah dan kebajikan Islam mendapat penghargaan banyak pihak dan terbaru, beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak (Saudara Baru) 2005.

Beliau mempunyai fasa-fasa hidup yang cukup menarik bermula dari seorang yang begitu mengabadikan diri terhadap Kristian, akhirnya dilimpahkan dengan nur dan hidayah Allah untuk memeluk Islam pada 4 September 1978.

“Saya telah mempunyai kehidupan yang begitu sempurna semasa menjadi paderi” katanya ketika ditemui di Yayasan Jenderami, Dengkil, Sepang di Selangor baru-baru ini.

Kesempurnaan yang dinikmati dalam institusi gereja itu membolehkan Anthony mengecap kesenangan dalam hidup.

“Segala-galanya disediakan dan diberi percuma oleh pihak gereja. Daripada orang yang akan membasuhkan tandas kita sehinggalah pemandu dengan kenderaan mewah untuk membawa saya ke mana sahaja.

“Ini tidak termasuk tiket-tiket penerbangan kelas pertama ke hampir seluruh pelusuk dunia. Jadi saya tidak ada masalah sepanjang berkhidmat untuk gereja kerana apa sahaja yang dihajati akan segera dipenuhi,” katanya yang telah menjejaki 22 negara bagi menjayakan misionari Kristiannya.

Tugas sebagai Biecht-vader iaitu mengampunkan penganut Kristian yang berdosa turut memberikan kepuasan kepada jiwa Anthony ketika itu. Pernah kata Ayub, beliau diminta mengampunkan penghuni kubur atas permintaan keluarga si mati.

Sehinggalah pada suatu hari berdasarkan pembacaan kitab Bible, perasaan beliau yang setenang air di kali selama ini mula terganggu. “Tanpa seseorang itu dibaptiskan, tidak memungkinkan seseorang itu menghuni syurga!”

“Apabila saya terbaca ayat itu, hati saya begitu terusik. Ini kerana secara tiba-tiba saya terkenangkan jiran-jiran saya di Kampung Pelanduk Jatuh, Bukit Mertajam Pulau Pinang.

“Mereka merupakan jiran yang sangat baik. Sehinggakan saya masih ingat walaupun mereka menjalani ibadat puasa Ramadan, kami sekeluarga adalah orang pertama yang akan menerima juadah berbuka puasa mereka.

“Mereka tidak akan berbuka selagi kami tidak menerima juadah tersebut walaupun kami bukannya beragama Islam. Ia memang satu situasi yang mengharukan.

“Begitu juga apabila ada ahli keluarga saya sakit dan memerlukan rawatan segera ke hospital, jiran-jiran Melayu saya inilah yang akan bersusah payah menggunakan kenderaan mereka untuk membawa kami ke hospital dan mereka tidak pernah berkira.

“Saya kira mereka merupakan jiran terbaik yang pernah saya jumpa” kata Ayub.

Apabila mengenangkan kebaikan jiran-jirannya itu dan ajaran Kristian, Anthony begitu terusik kerana kebaikan mereka itu akan berakhir dengan masuk ke neraka!

“Saya benar-benar sedih kerana mereka ini tidak pernah dibaptiskan maka tentunya mereka tidak akan layak masuk ke syurga Allah.

“Sehinggakan buat pertama kali saya memperkenalkan sembahyang malam yang sebelum ini tidak ada dalam cara orang Kristian beribadat. Ini kerana saya benar-benar memerlukan jawapan mengenai persoalan ini,” jelasnya.

Oleh kerana memiliki kunci pintu gereja maka pada suatu malam, dihadapan altar beliau sembahyang dan ‘merayu’ kepada tuhan supaya jiran-jirannya itu dikecualikan daripada memasuki neraka.

Namun bagi Anthony sudah sampai tahap dan masa untuknya mengubah akidah umat Islam itu sendiri.

Lantas beliau memohon kebenaran pihak gereja untuk mengkaji dan mendalami al-Quran yang bakal dijadikan senjata untuk melumpuh dan melemahkan umat Islam itu sendiri.

Permintaan Anthony segera dipenuhi malah pada tahun 1973 beliau dihantar ke Millhill Missionary Institute di utara London bagi membolehkan paderi ini mempelajari Islam sebanyak mana yang beliau mahu.

“Pada mulanya untuk selama tiga bulan, tetapi saya lanjutkan sehingga enam bulan kerana telah direncanakan oleh tuhan, saya tidak menemui apa yang dicari kecuali jika terus mencari apa yang ditemui hanyalah keindahan Islam.

“Tiada kecacatan langsung mengenai Islam malah kalau ada 10 kitab al-Quran yang didatangkan dari mana-mana negara di hadapan saya. Baik sama ada dari Afrika, Asia malah dari Eropah sendiri, yang saya jumpa hanyalah ayat-ayat yang sama.

“Kata-kata Allah itu begitu terpelihara dan tidak berubah oleh sebarang tokok tambah dan pengurangan. Malah nama agama itu sendiri, memang ada tertulis di dalam al-Quran dan makna dari ayat 85 Surah al-Imraan benar-benar mengejutkan saya sehingga saya menjadi lebih ketakutan.

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al- Imraan: 85)

“Jadi, siapa sebenarnya yang akan rugi di hari akhirat kelak?,” katanya.

Menurut Ayub, adalah tidak mudah sebenarnya untuk beliau menerima Islam kerana dirinya sangat berpengetahuan dalam ajaran Injil itu sendiri sehinggakan banyak mengunjungi tempat suci orang Kristian di seluruh dunia. Peluang yang tidak diperolehi oleh penganut lain.

“Ditambah dengan persekitaran hidup dalam biara dan sentiasa dipantau oleh pihak gereja sehinggalah oleh pihak Vatican di Itali,” katanya.

Namun 4 September 1978 mencatatkan tarikh yang bersejarah apabila paderi ini akhirnya dengan seikhlas hati mengakui keesaan Allah s.w.t sebagai tuhan yang satu yang tidak disekutukan dengan mana-mana makhluk lain termasuk Nabi Isa a.s.

Beliau diIslamkan di bumi Sarawak sebagai saksi dengan dibantu oleh Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaacob.

“Jadi, tahulah anda dari mana saya mendapat nama Abdul Rahman selepas saya memilih Ayub sebagai nama Islam saya,” katanya.

Rupa-rupanya tindakan Ayub memeluk Islam itu bukan sahaja menimbulkan kejutan kepada banyak pihak namun yang lebih tidak sangka-sangka sehingga membahayakan nyawanya pada masa itu.

“Tidak dapat dilupakan bagaimana takut dan ngerinya saya pada masa itu apabila rumah yang saya diami dibaling orang dengan ketulan-ketulan batu.

“Tidak sangka tindakan saya memeluk Islam tidak disenangi oleh sesetengah pihak,” katanya.

Demi keselamatan dirinya, Ayub terpaksa menyembunyikan diri di Jeddah, Arab Saudi dan di Tanah Haram, Mekkah Al Mukarramah selama tiga tahun.

“Tetapi begitu sekali kekuasaan Allah! Jika tidak kerana persembunyian ini tentulah saya tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Saya benar-benar bersyukur kerana diberikan

peluang yang sebegini hebat.

“Bagai tidak percaya, baru sehari dua mengucapkan kalimah syahadah di tanah air tetapi Rumah Allah, Kaabah itu kini berada di hadapan mata dan saya tidak mampu menahan air mata yang mengalir. Seumur hidup tidak pernah menangisi diri tetapi saya benar-benar merasakan diri ini begitu kerdil dan hina berbanding nikmat iman yang diberikan oleh-Nya kepada saya,” katanya.

Selama tiga tahun itu, Ayub mengambil kesempatan mendalami Islam dalam semua aspek terutama al-Quran bagi menambahkan keyakinan dan memberikan kekuatan sebagai seorang yang baru dalam Islam.

Hanya kebelakangan ini sahaja, Ayub memberanikan diri berdakwah secara terbuka termasuk memasuki segenap pelusuk pedalaman Sarawak dan Semenanjung bagi menyebarkan Islam sambil melakukan pelbagai kerja kebajikan.

Namun seperkara yang menarik mengenai Ayub ini apabila setiap hujung minggu, beliau ‘menukar’ statusnya sebagai pemandu pelancong.

“Hujung-hujung minggu saya pasti berada di perkarangan masjid-masjid di sekitar Kuching. Di situ saya berperanan sebagai pemandu pelancong kerana ramai menjadikan Masjid Bahagian Kuching sebagai destinasi kunjungan mereka setiap kali datang ke sini.

“Daripada mereka terjengok-jengok dan tiada sesiapa membantu untuk menjelaskan fungsi dan peranan masjid, adalah lebih baik saya menemui rombongan pelancong yang rata-ratanya warga Barat itu dan mengajak mereka masuk dan melihat sendiri keadaan dan suasana masjid,” katanya yang telah tiga kali mengerjakan haji dan bercadang ke Tanah Suci sekali lagi tahun ini.

Kebanyakan mereka ini, kata Ayub, mempunyai salah tanggapan mengenai Islam dan masjid itu sendiri. Ini termasuklah percaya terdapat patung Nabi Muhammad dalam masjid kerana menganggap baginda merupakan tuhan yang memperkenalkan agama yang mereka panggil sebagai “Muhamaddan”, golongan wanita dinafikan hak mereka untuk beribadat di masjid dan sebagainya.

“Jadi saya ajak mereka masuk dan lihat sendiri akan ‘patung’ tersebut. Ini kerana mereka mungkin menganggap ajaran Islam seperti ajaran Kristian yang terdapat patung Jesus di dalam gereja.

“Tetapi apabila mereka mendapati suasana di dalam masjid tidak seperti yang mereka sangkakan, lalu mereka kehairanan. Di sinilah saya mengambil kesempatan memberi gambaran sebenar mengenai masjid dan terangkan mengapa tidak perlu adanya sebarang patung, apa itu arah kiblat dan sehinggalah mengapa diasingkan jemaah lelaki dan perempuan.

“Apabila tiba waktu sembahyang, saya meminta mereka melihat sendiri bagaimana orang Islam sembahyang dan saya bersedia menjawab apa juga persoalan yang diajukan selepas itu.

Begitu juga apabila kedengaran seruan azan yang mereka anggap sebagai lagu ibadat paling merdu yang pernah mereka dengar, saya akan jelas makna di sebalik ‘lagu merdu’ itu,” katanya yang menggunakan kelebihan berbahasa Jerman dan Inggeris bagi tujuan ‘dakwah’ itu.

Ketika ditemui penulis, Ayub sedang membantu seorang lagi saudara baru iaitu merupakan pelancong Finland yang menghadapi pelbagai kesukaran di sini.

Lawatannya di kampung-kampung masyarakat Melayu di sekitar Lumut, Setiawan dan Seri Manjung, Perak baru-baru ini menyebabkan lelaki Finland ini begitu tertarik kepada Islam dan terus memeluk agama itu.

“Tindakan itu menyebabkan isterinya di Finland begitu marah dan menganggap apabila suaminya itu memeluk Islam bererti dia akan menjadi pengganas serta menggalas senjata. Lalu keluarga pelancong ini memberi amaran jika dia pulang semula ke negaranya itu, dia akan mati ditembak.

“Jadi siapa sebenarnya yang ganas? Malah mereka menganggap kehadiran Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad ke negara ini baru-baru ini semata-mata untuk merekrut askar dan tentera di kalangan orang Islam di negara ini untuk tujuan keganasan. Sehingga begitu sekali tanggapan mereka mengenai Islam,” katanya yang sedang membantu mengenai kebajikan pelancong itu di sini.

Berkahwin dengan Baiti Adenan, 59, dan mempunyai dua anak lelaki, Musa, 22, dan Isa, Ayub, 20, meniti kehidupan yang lebih bermakna dan bahagia.

Menariknya, beliau lebih kerap memanggil anak-anak lelakinya itu dengan panggilan ‘Moses’ and ‘Jesus’.

“Pernah ada yang meminta kepastian dari saya, benarkah dengan menggunakan telefon bimbit saya sedang bercakap dengan Nabi Musa dan Nabi Isa?,” katanya sambil tertawa kecil.

Setiap tahun, melalui satu pertandingan, anggota-anggota Pasukan Bulan Sabit Merah (PBSM) di Kuching Sarawak akan merebut piala yang dianggap berprestij di sana, iaitu Lazaramah Viagulam Challenge Throphy. Tetapi apa kaitannya dengan Ayub?

“Piala ini sebenarnya dari saya bagi menggalakkan anak-anak muda supaya menderma darah bagi membantu Tabung Darah Negara dan nama piala itu merupakan sempena kasih sayang saya yang tidak ada tolok bandingnya lagi terhadap ibu saya yang tercinta (Lazaramah, 80).

“Ibu saya itu merupakan manusia kedua terpenting dalam hidup saya selepas Allah dan Rasul-Nya.

“Walaupun dia masih Kristian tetapi tidak ada apa yang boleh menghalang kasih sayang kami,” katanya yang begitu gembira kerana dapat berjumpa bagi meraikan hari lahir ibunya baru-baru ini.

Ayub benar-benar Muslim yang berbeza. Beliau mempunyai senarai kerja kebajikan yang panjang di Kuching. Antaranya Out Reach HIKMAH, Naib Yang Dipertua Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Sarawak, Jawatankuasa PERYATIM, Sarawak dan Perkim Sarawak.

Bookmark and Share

Manfaatkan Dialog Untuk Berdakwah!

April 10th, 2008 by myjaslina

Islam adalah agama yang bersifat universal. Ia diturunkan kepada seluruh umat manusia tidak kira warna kulit atau pun bahasa pertuturan. Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah, " Dan tidaklah Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekelian alam ". (Al-Anbiya:107)

Dalam hidup masyarakat majmuk seperti Malaysia, sudah pasti tugas berdakwah ini bukan hanya terbatas kepada sesama Muslim tetapi juga kepada bukan Islam. Bagi mencapai persefahaman, tentulah dialog atau majlis perbincangan keagamaan diperlukan sebagai medium berdakwah khasnya kepada bukan Muslim.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ROY AZIZ ABD. AZIZ menemu bual pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya, Prof. Dr. Abd. Aziz Mohd. Zain bagi mengupas isu ini.


Ba_01_big

Mega: Apakah konsep hidup dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia?

DR. ABD. AZIZ: Konsep hidup Islam dalam masyarakat majmuk ialah ingin mempengaruhi orang lain. Satu cara utama mencapainya ialah menunjukkan cara hidup yang berkualiti. Inilah juga maksud sebenar syahadah kita iaitu menyaksikan bahawa orang Islam itu menganut agama yang berkualiti dan benar yang telah dipersaksikan melalui kehidupan yang berkualiti.

Dalam masyarakat majmuk, setiap orang Islam hendaklah bersaksi dalam erti kata menghayati dan menganuti agama Islam yang tinggi mutunya. Inilah konsep sebenar dakwah. Sebabnya, umat yang lemah tidak akan dapat mempengaruhi orang lain. Sebaliknya umat yang berkualiti dan kuat boleh berbuat demikian.

Dalam Perjanjian Hudaibiah misalnya, kita dapat lihat bagaimana ketinggian budi pekerti baginda s.a.w berjaya menarik hati kaum Musyrikin Mekah. Walaupun baginda dan rombongan dihalang mengerjakan umrah pada tahun tersebut, baginda tidak membantah. Dengan sebab itu, masyarakat Mekah merasakan tidak terpaksa menerima baginda sebab ada kalanya Rasulullah s.a.w melayan kehendak mereka.

Pendek kata, toleransi kalau boleh mendatangkan natijah yang baik, merapatkan hubungan, menghapus curiga, prejudis dan kegelisahan maka ia disuruh. Kesimpulannya, konsep hidup Islam ialah menonjolkan kualiti hidup untuk mempengaruhi orang lain.

Satu daripada cara memberi pemahaman kepada bukan Muslim ialah melalui dialog keagamaan. Namun, bagaimana memastikan keberkesanannya di samping memastikan tidak wujud unsur pluralisme sehingga mengatakan semua agama itu baik dan benar?

DR. ABD. AZIZ: Dialog itu bagus dan perlu. Namun asasnya ialah Islam itu perlu diterima dengan jelas. Untuk itu, Islam harus dikemukakan dengan sebaik-baiknya. Malah dalam al-Quran ada sekurang-kurangnya lima ayat yang menceritakan keperluan memperincikan Islam dengan jelas dan nyata atau Balaghul Mubin.

Antaranya firman Allah " Dan tugas kami (Rasul) hanyalah menyampaikan perintah Allah dengan cara jelas dan nyata ". (Yasin:17)

Dakwah ini tidak boleh dipaksa. Kalau dipaksa akan berlaku pemberontakan dari dalam diri seseorang itu. Islam juga tidak memaksa sesiapa pun masuk Islam. Ini dijelaskan oleh Allah "Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dan jalan yang salah…" (Al-Baqarah:256)

Antara tugas dakwah ialah memberi penjelasan yang nyata supaya jelas dan mudah difahami perkara yang baik dan yang batil. Salah satu caranya adalah melalui dialog, perbincangan atau perbahasan dakwah. Namun, dalam berdialog ini kita perlu berpegang kepada tiga asas utama iaitu hikmah atau bijaksana, nasihat yang baik dan dialog yang terbaik. Ini dijelaskan menerusi firman Allah " Berdakwahlah kepada jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan berbahaslah (berdialog) dengan mereka dengan cara yang terbaik…" (An-Nahl:125)

Apabila berdialog, kita boleh menentukan mana yang baik dan boleh diterima. Melalui perbincangan dua hala itu juga kita dapat melihat mana yang lebih berkualiti, sesuai dan tidak sesuai. Dalam dialog itu juga mesti menjaga beberapa adab antaranya jangan merendahkan pihak lain atau menghina tuhan orang lain. Sebabnya dialog bertujuan mencari kebenaran, kualiti dan titik pertemuan bukannya membakar lagi perseteruan.

Contohilah kaedah yang ditunjukkan oleh Allahyarham Ahmad Deedat dalam berdialog dengan golongan Kristian. Walaupun bukan semua yang mendengar dialog itu memeluk Islam tetapi ramai yang berbuat demikian selepas beberapa ketika hasil dialog tersebut.

Dengan kita yakin Islam ada asal-usul yang jelas, berkualiti dan sesuai dengan semua masa dan keadaan setempat untuk kebaikan dunia dan akhirat kenapa kita harus bimbang masuk gelanggang?

Ada yang merujuk kepada surah Hud ayat 118 jika dikehendaki Allah maka nescaya seluruh manusia akan jadi umat yang satu menyebabkan ada berpendapat tidak perlu berdakwah kepada bukan Islam. Benarkah pandangan begini?

DR. ABD. AZIZ: Kita boleh bahagikan bab ini kepada dua iaitu akidah dan perbuatan. Kita memang disuruh serah segala-galanya kepada Allah. Cuma dari sudut amalan, Tuhan ciptakan kita di dunia ini supaya beramal soleh. Antara amal soleh yang paling utama ialah memandu orang kepada kebaikan. Kita orang baik dan ajak orang lain turut sama buat kebaikan. Jadi, dalam bab amalan kita buat sahaja apa yang Allah perintah. Ini ada kaitan dengan qada dan qadar. Jangan dipersoalkan perintah solat, puasa, haji dan sebagainya. Jika ingkar kita derhaka.

Bagaimanapun, kepercayaan dan perbuatan ini tidak bertembung. Ia boleh berlaku serentak. Contohnya, fikiran kita melayang mengenangkan kampung halaman tetapi jasad kita masih ada di pejabat.

Barangkali inilah yang menyebabkan dakwah kita lebih tertumpu kepada yang dah Islam dan bukannya yang belum Islam?

DR. ABD. AZIZ: Ada dua pandangan dalam hal ini. Pertama, kita tidak galakkan dakwah keluar iaitu kepada bukan Islam selagi tidak selesaikan masalah dalaman yang melibatkan umat Islam sendiri.

Hujah mereka, orang Islam masih ada masalah bagaimana kita nak buka kepada yang bukan Islam. Kalau berjaya pun, hasilnya bukan terbaik. Ada juga kewajaran hujah ini. Mungkin itulah juga sebab dakwah sekarang kurang berkesan.

Pandangan kedua, mahu usaha dakwah kepada umat Islam dan bukan Islam berjalan serentak. Hujah mereka, kalau nak tunggu masalah dalaman umat Islam selesai, ia tidak akan selesai. Inilah kaedah yang terbaik.

Apakah masa depan Malaysia sebagai negara Islam moden dan sederhana dalam menjadi model kepada lain-lain negara Muslim yang masih mundur?

DR. ABD. AZIZ: Melihat kepada pencapaian negara dan persepsi orang luar terutama orang Arab, kita rasa bangga. Sebabnya, kepada Malaysia mereka menaruh harapan tinggi setelah mereka sendiri merasakan tidak ada jalan bagi mereka membaiki mutu orang Islam. Pada masa yang ada juga kebimbangan. Sebabnya masih ada kelemahan tertentu yang terpaksa dihadapi. Antaranya jurang pencapaian spiritual dan material yang agak besar. Kalau dibiarkan lama kelamaan ia boleh meruntuhkan pencapaian material.

Kalau kita ingin melihat Malaysia capai kemajuan yang berterusan dan jadi contoh kepada negara lain adalah bijak usaha ditumpukan kepada cara menangani perkara yang boleh membawa masalah ini. Kita mesti ada jati diri dan kalau masalah spiritual atau keruntuhan akhlak ini boleh dikurangkan ia boleh memberi harapan yang besar kepada masa depan negara. Mana-mana pencapaian yang membanggakan negara itu perlu diteruskan supaya melonjak lebih laju manakala segala kebimbangan itu hendaklah cuba ditangani supaya berkurangan.

Kedua-dua elemen iaitu pembangunan luaran dan pembangunan dalam adalah diperlukan untuk memacu kemajuan negara.

* Jangan disempitkan fikiran dengan menyangka berdakwah perlu bijak berkata-kata dan penuh berilmu. Tapi kita juga berdakwah apabila berbuat baik sesama yang bukan Muslim.

Bookmark and Share

Alhamdulillah…

April 10th, 2008 by myjaslina

FIRMAN Allah yang bermaksud: Sesiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk Islam)… (al-An’am: 125)

Pengislaman Chin Fei dipermudah

Oleh QAMARUL MUNIRAH SAID - Utusan Malaysia (10 April 2008 / 3 Rabiul Akhir 1429)

TIDAK kira di mana atau bagaimana caranya, jika pintu hati telah diketuk untuk menerima seruan-Nya, tiada apa lagi yang dapat menghalang.

Begitulah yang dialami oleh Sam Chin Fei. Dia tidak menyangka beberapa kemalangan kecil yang berlaku kepadanya telah membuatkan dirinya memilih jalan yang diredai Allah ini.

“Saya merasakan itu semua seolah-olah petunjuk daripada Allah serta satu seruan agar saya tidak mati sebagai bukan Muslim. Setiap kali berlaku kemalangan, saya terfikir, bagaimana sekiranya suatu hari nanti saya ditimpa kemalangan yang besar dan mati. Ia mungkin juga merupakan petanda yang Tuhan boleh mengambil nyawa saya bila-bila masa saja dan ia telah membuat saya tersedar supaya saya berubah menjadi lebih baik. Saya tidak mahu mati dalam kekufuran, apatah lagi saya telah mengenali Islam sejak kecil lagi,” ujarnya ketika ditemui di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut anak muda berusia 30 tahun ini, pada mulanya ketika dia melangkah masuk ke bangunan Perkim, hatinya penuh dengan masalah dan dia amat memerlukan khidmat kaunseling pada masa itu. Namun, apabila dia ke pejabat Perkim dan menyuarakan niat hatinya itu, ustaz di situ menggalakkan agar dia mengucap dua kalimah syahadah dahulu untuk menjadi seorang Muslim sebelum mendalami agama itu.

“Saya memberitahunya bahawa saya belum mendalami agama Islam. Macam mana jika saya dah memeluk agama Islam dan jika saya rasa tak sesuai dengan saya, lalu hendak keluar dari agama itu, bukankah dikira murtad? Dan setahu saya, murtad merupakan satu kesalahan besar dan saya tidak mampu nak menanggung kesalahan itu di akhirat kelak,” soalnya.

Ustaz tersebut membuat kiasan terhadap niat Chin Fei. “Beliau memberitahu saya bahawa sebelum kita membeli perkakas rumah, kita perlu mempunyai rumah terlebih dahulu dan kemudian barulah kita hias dengan barangan rumah yang dicari dan layak untuk sebuah rumah supaya rumah tersebut cantik dan selesa untuk didiami. Rumah itu seumpama agama Islam dan perkakas itu pula iman kita. Kalau kita tidak ada rumah (agama Islam), kita tidak mungkin akan ada perkakas (iman) kerana perkakas tidak akan wujud atau tidak memberi apa-apa makna kepada kita kalau kita tidak mempunyai rumah. Jadi kita perlu ada rumah terlebih dahulu, kemudian kita cari jalan untuk mendapatkan perkakas atau memantapkan iman kita ,” jelasnya.       * Kata-kata yang simbolik dan penuh bermakna!

Menurut Chin Fei atau nama Islamnya, Muhammad Amin Sam Abdullah, ustaz tersebut memberi galakan kepadanya untuk mengucap dua kalimah syahadah terlebih dahulu sebelum menguat dan memantapkan iman. Kata ustaz itu lagi, jika kita betul-betul berusaha untuk belajar Islam, Insya-Allah, Allah akan memantapkan iman dan akidah kita. Selain itu, katanya, kita perlu berserah kepada Allah ke atas semua perkara. Selagi kita berusaha untuk menjadi seorang Muslim yang baik, Allah tidak akan membebankan hambanya malah ia dipermudahkan. Selepas mendengar penjelasan dan penerangan daripada ustaz tersebut, hati Amin terdorong untuk memeluk Islam dan kemudian barulah mempelajarinya. “Alhamdulillah, Allah banyak memakbulkan doa dan permintaan saya serta menolong saya mengatur semula hidup saya,” tambahnya.

Menurut Amin, sebenarnya banyak perkara yang menyebabkannya memilih Islam sebagai jalan hidupnya kini. Dia tidak seperti saudara baru yang lain yang kebanyakannya mendapat hidayah menerusi mimpi yang aneh, seruan azan atau perkara-perkara yang pelik. Katanya, sejak lima tahun lepas, pelbagai masalah datang menimpa dan dia pernah menganggur selama lebih dua tahun.

“Masalah keluarga, cinta, kewangan, kerjaya, kesihatan dan sebagainya membuatkan saya runsing dan mencari jalan untuk menyelesaikannya. Masa itu, jiwa saya runtuh dan seperti sudah tidak ada hati untuk hidup dan mengharungi cabaran itu. Walau bagaimanapun, segala masalah itu telah menemukan saya kepada jalan yang benar. Semasa saya sedang berdepan dengan masalah yang tak mampu untuk diselesaikan, Allah telah bukakan satu jalan untuk saya. Masa itu, cuma saya perlu memilih sama ada untuk menyelusurinya atau membiarkan sahaja,” jelasnya.

Menurut Amin, hatinya terbuka untuk menerima Islam semasa pulang bercuti ke kampung halamannya semasa Hari Raya Korban tahun lalu. “Di sana, hati saya berasa tenang sedikit dan ia membuat saya bercadang memeluk Islam dalam masa terdekat. Akhirnya, pada minggu terakhir tahun lepas, saya memilih untuk berada di jalan Allah ini. Kini jiwa saya semakin tenang,” ujarnya yang memeluk Islam pada Jumaat, 28 Disember 2007.

Dia juga mengakui sikap panas barannya dahulu telah dapat diatasi sedikit demi sedikit setelah memeluk Islam. Kini, dia dapat mengawal kemarahannya dan belajar untuk menjadi orang yang lebih penyabar. Selain itu, dia tidak mendapat sebarang tentangan daripada ahli keluarganya semasa ingin memeluk agama Islam, tidak seperti kebanyakan saudara baru yang lain. “Namun, sebagai saudara baru, ujian itu tetap datang cuma ia berbeza bagi setiap orang. Saya bersyukur kerana Allah permudahkan saya untuk mengharungi segala cabaran dan dugaan tersebut,” katanya.

Menurut anak kelahiran Ipoh ini, sejak kecil lagi dia telah terdedah dengan masyarakat Melayu dan Islam. “Sejak di sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, saya dihantar ke sekolah Melayu. Sedikit sebanyak ini mempengaruhi kehidupan saya. Apabila saya meningkat dewasa, saya cuba mempelajari dan membandingkan agama Islam dengan agama-agama yang lain dan saya mendapati, Islam banyak menjawab persoalan yang bermain di fikiran saya,” ujarnya.

Tambah siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini lagi, hakikat yang tidak dapat disangkal ialah agama Islam ini merupakan agama yang indah, sempurna dan menyeluruh, iaitu meliputi pelbagai perkara. Namun dia juga kesal bahawa sekarang ini, kebanyakan orang mempunyai pandangan negatif terhadap agama Islam. Malahan ada juga yang ingin memburukkan agama Islam dengan tujuan untuk memusnahkan agama yang benar ini.

Dengan Islam, kita akan beroleh ketenangan lebih-lebih lagi apabila saat kita ‘berbicara’ dan meminta dengan Allah. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Saat itu, segala masalah kita boleh ceritakan kepada yang Esa. Ketika saya sedang bergelut dengan pelbagai masalah, saya terus mengadu kepada Allah dan meminta Dia mengambil balik semua masalah saya itu dan meminta Dia mengatur semula hidup saya yang tidak tenang dan teratur ini. Terasa kelegaannya apabila kita punya tempat untuk mengadu,” ujarnya.

Kata Amin, walaupun baru memeluk Islam, dia bersyukur kerana Allah permudahkan baginya untuk menghafaz dan mengingati bacaan-bacaan dalam solat. “Ini semua berkat tunjuk ajar daripada tenaga pengajar dan rakan sekelas . Saya berterima kasih kepada mereka semua yang tidak jemu membantu,” katanya.

Kini, Amin dalam usaha untuk menambahkan ilmu serta melancarkan dan memperbetulkan bacaannya dengan mengikuti kelas-kelas anjuran Perkim.

* Alhamdulillah dengan izin Allah pintu hati beliau terbuka menerima Islam sebagai landasan kehidupan. Bagaimana pula kita yang sedia Islam? Adakah cukup penghayatan Islam kita selama ini atau sekadar ikut-ikutan (bertaqlid) kerana dilahirkan didalam keluarga Islam? Semoga kita mengambil iktibar dan berusaha menjadikan hari mendatang lebih baik dari yang lepas-lepas dalam menjalani ibadah dan kehidupan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Amin..

Bookmark and Share

Apabila anak-anak semakin kurang ajar!

April 4th, 2008 by myjaslina

DISIPLIN dan etika di khalayak perlu diberi perhatian tidak kira di mana sahaja kita berada khasnya hal berkaitan tingkah laku dan sopan santun.

Kata orang penampilan sahaja tidak cukup jika tidak disertakan dengan nilai-nilai murni dan sikap berhemah.

Saya setuju dengan kata-kata itu. Tambahan pula semua itu patut bermula dari rumah. Ini bermakna rumah adalah tempat paling sesuai memulakan disiplin diri dan peranannya tentu sekali terletak di tangan ibu bapa.

Namun bagaimana perasaan seorang ibu yang telah hilang kudratnya apabila dimarah dan disergah di khalayak oleh anak sendiri?

Inilah kisah yang ingin saya sampaikan kepada pembaca minggu ini. Kisah yang turut melukakan hati saya sebagai seorang wanita dan ibu.

Kisahnya berlaku di sebuah restoran makanan segera di bandar RS. Bersama anak yang secara kebetulan pulang bercuti, saya singgah ke restoran tersebut selepas membeli sedikit barang keperluan sekolah. Ketika masuk ke restoran berkenaan, orang tidak begitu ramai tetapi keadaan agak tenang. Melihat satu sudut yang agak selesa dan setelah memesan makanan, kami memilih sebuah meja berhampiran pintu, sementara meja di kiri kanan masih kosong.

Tidak lama kemudian berhenti sebuah kereta mewah di hadapan pintu utama. Seorang wanita pertengahan umur bersama seorang warga emas berkerusi roda dan seorang pembantu yang saya pasti warga asing masuk ke restoran tersebut. Wanita yang berkerusi roda itu pada perkiraan saya berumur lebih 70 tahun. Keadaannya uzur dan wajahnya nampak tidak bermaya. Dia disorong ke meja di sebelah kami. Sepuluh minit kemudian masuk tiga lelaki lalu terus ke meja tersebut. Tidak syak mereka anak-anak wanita tua itu.

Di kaunter pesanan, wanita yang masuk lebih awal bersama wanita tua itu saya lihat memesan makanan dan minuman. Lima minit kemudian dia kembali ke meja. Sementara pembantu rumah itu pula mula mengeluarkan barang-barang yang dibawa dan diletakkan di atas meja. Antaranya bekas air plastik, bakul ubat, semangkuk bubur dan termos air panas.

Anak perempuan wanita itu kelihatan merungut-rungut. Mungkin meleteri ibunya atau bercerita tentang sesuatu kepada tiga orang saudara lelakinya yang terus mencapai makanan dan memakannya. Serentak itu, pembantu rumah itu juga mula menyuapkan bubur kepada warga emas tersebut. Sesekali wanita tua itu menepis tidak mahu makan tetapi dipujuk oleh pembantu rumah itu. Mungkin geram melihat gelagat ibunya, wanita itu berhenti makan. Wajahnya kelihatan marah. Dengan mulut masih becok berkata-kata, dia menyuap bubur itu bertubi-tubi ke mulut ibunya, tercungap-cungap jadinya wanita itu. Tidak cukup dengan itu, air pula dituang ke dalam gelas plastik dan dihulurkan dua biji ubat kepada wanita itu dan menyuruhnya telan.

Saya patah selera untuk makan dan memberi perhatian kepada ‘drama’ di depan mata saya itu. Saya perhatikan wanita tua itu terkebil-kebil memandang anaknya seolah-olah minta dikasihani dan jangan memaksa dia berbuat demikian. Sayang sekali, perasaan si ibu rupanya tidak difahami oleh anak. Mahu tidak mahu ditelan juga ubat itu. Tidak sampai lima minit terdengar suara seperti orang tercekik, diikuti batuk-batuk yang semakin lama semakin kuat.

Beberapa pelanggan dikeliling berhenti makan dan memerhati ke arah wanita itu dan anak-anaknya. Sebaik berpusing ke arah mereka, masing-masing berpaling semula dan menutup hidung. Rupa-rupanya orang itu sudah memuntahkan semua isi perutnya kerana terlalu didesak supaya menelan bubur dan ubat itu. Seketika keadaan di situ menjadi kecoh apabila anak-anaknya mula menengking dan marah-marah.

Perasaan kasihan menyelubungi hati saya namun apa daya hendak menolong. Tumpuan kepada makanan di depan turut terjejas. Beberapa pelanggan saya lihat mula merungut… keadaan bau juga mula tidak menyenangkan. Lima minit kemudian, seorang pekerja di restoran itu segera masuk membawa pengelap dan penyapu serta satu baldi air. Wajah pekerja muda itu juga berkerut-kerut dan hidungnya kembang kempis menahan bau. Dalam masa tidak sampai sepuluh minit saya lihat seorang demi seorang pelanggan keluar meninggalkan restoran tanpa menghabiskan makanan yang masih banyak berbaki.

Begitu juga saya, bukan kerana jijik tetapi tidak sampai hati melihat orang tua itu dimarah anak-anaknya. Sayu benar hati saya. Apa yang saya pelik kenapa orang tua yang uzur itu dibawa ke situ sedangkan sepatutnya dia berehat di rumah dengan selesa. Kalau ia pun ke klinik untuk rawatan, lebih baik jangan singgah makan di tempat terbuka, beli bungkus dan bawa balik. Ini tidak, dia dipaksa pula makan bubur dan ubat. Anak-anak patut faham ini bukan di rumah. Kalau ia pun sudah sampai masa makan ubat, kenapa tidak diberi sebelum mereka keluar rumah.

Kejadian itu bagi saya satu teladan yang perlu diberi perhatian serius oleh anak-anak. Tidak salah membawa ibu yang uzur berjalan-jalan untuk mendapatkan udara luar tetapi perlu juga diingat jangan sekali-kali membebankan minda mereka dengan perkara yang bukan-bukan. Lebih baik bawa mereka ke taman-taman dan pusat rekreasi untuk bersenam atau terapi daripada mengheret mereka ke restoran segera yang tentunya bukan tempat sesuai untuk mereka.

Ralat benar hati saya hari itu. Sedih apabila melihat seorang ibu tua yang uzur dimarah oleh anak-anaknya dengan kata-kata kesat. Tersentuh hati saya melihat mata kuyu wanita tua itu semasa dimarah-marah oleh anak-anaknya. Hingga ke saat ini masih terbayang di mata saya bagaimana muramnya wajah wanita tua itu diperlakukan begitu. Tanpa meminta maaf kepada sesiapa, anak perempuan wanita tua itu menyorong ibunya keluar dari restoran tersebut. Di dalam restoran, suasana makin sepi. Yang tinggal hanya pekerja yang ditugaskan membersihkan tumpahan makanan ibu tua tadi. Kasihan dia…

Saya tidak menafikan gaya hidup boleh diamal, tetapi pastikan ia tidak melanggar batas kasih sayang dan hormat kita kepada orang tua khasnya ibu bapa apabila berada di khalayak. Ingatlah, sebesar mana sekalipun kesilapan ibu bapa, abaikan, maafkan mereka dan berdoa selalu minta mereka dilindungi daripada apa juga bahaya.

Menjaga ibu uzur besar pahalanya tidak terkira ganjaran yang Allah S.W.T akan berikan. Jangan sakiti hati mereka, jangan biarkan air mata mereka menitis sebaiknya gembirakan mereka selagi hayatnya ada. Menutup catatan, saya selitkan pesanan telus untuk renungan bersama: Seorang ibu yang melihat anaknya terjatuh tidak akan menangis tetapi akan segera membalut luka anaknya itu supaya anak tersebut tidak akan merasa sakit.

Mengingatkan diri saya dan anda juga, marilah kita berdoa tanpa jemu agar kedua ibu bapa kita sentiasa di dalam kesejahteraan di dunia dan akhirat.

“Ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua-dua ibu bapaku serta rahmatilah (peliharalah) kedua-duanya seperti mana mereka memelihara aku sewaktu aku kecil.’’ Amin.

Salam.

Dipetik dari Utusan Malaysia 4 April 2008 / 27 Rabiul Awal 1429

Bookmark and Share

THE REASON

February 1st, 2008 by myjaslina

i’m not a perfect person. there are many things i wish i didnt do
but i continue learning. i never meant to do those things to you.
and so i have to say before i go, that i just want you to know

i’ve found a reason for me, to change who i used to be
a reason to start over new, and the reason is you

i’m sorry that i hurt, its something i must live with everyday
and all the pain i put you through, i wish that i could take it all away
and be the one who catches all your tears, thats why i need you to hear

i’m not a perfect person, i never meant to do those things to you
and so i have to say before i go that i just want you to know

i’ve found a reason for me, to change who i used to be
a reason to start over new, and the reason is you
i’ve found a reason to show a side of me you didnt know
a reason for all that i do, and the reason is you

Bookmark and Share